CORONAVIRUS: WHAT TO DO TO REDUCE CHANCES OF CATCHING IT

CORONAVIRUS: APA YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGURANGKAN KEBARANGKALIAN DIJANGKITI

CORONAVIRUS: APA YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGURANGKAN KEBARANGKALIAN DIJANGKITI

Coronavirus adalah perkara biasa, dan biasanya menyebabkan keadaan pernafasan ringan, seperti batuk atau hidung berair.

Tetapi sesetengahnya lebih serius - seperti Sars (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) yang membawa maut dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (Mers).

Wabak ini - yang dikenali sebagai novel coronavirus (nCoV) - merupakan strain baharu yang belum pernah dikenal pasti sebelum ini pada manusia.

Ia kelihatan bermula dengan demam, diikuti dengan batuk kering dan kemudian, selepas seminggu, menyebabkan sesak nafas.

Namun dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut teruk, kegagalan buah pinggang malah kematian.

Kebanyakan mangsa adalah golongan warga emas yang menghidap penyakit kronik lain termasuk Parkinson dan diabetes.

Peter Piot, profesor kesihatan global dan pengarah London School of Hygiene & Tropical Medicine, berkata "berita baiknya" adalah data menunjukkan virus tersebut mungkin mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding Sars.

Terdapat juga ujian diagnostik dan perkongsian maklumat global yang lebih meluas berbanding sebelum ini, katanya.

"Dan itu penting kerana anda tidak boleh menangani potensi pandemik di satu negara sahaja."

Belum ada lagi rawatan anti-virus khusus untuk jangkitan ini, jadi mereka yang dijangkiti virus kini dirawat mengikut simptom mereka.

 

Anda boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan peluang anda dijangkiti

WHO menasihatkan orang ramai di kawasan yang terjejas supaya mengikuti prosedur standard untuk mengurangkan peluang dijangkiti penyakit ini.

Ia termasuk kebersihan tangan dan pernafasan serta amalan pemakanan yang selamat.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan hubungan rapat dengan individu yang menghidap jangkitan pernafasan akut; kerap membasuh tangan, terutamanya selepas bersentuhan secara langsung dengan orang sakit atau persekitaran mereka; dan mengelakkan hubungan tanpa perlindungan dengan haiwan ternakan atau haiwan liar.

Mengelakkan makan produk haiwan mentah atau kurang masak juga dinasihatkan.

Mereka yang mempunyai simptom coronavirus harus mengamalkan "etiket batuk", termasuk menjaga jarak, menutup batuk dan bersin dengan tisu pakai buang atau bahagian dalam siku, membasuh tangan dan menggunakan pensanitasi tangan.

WHO telah menyatakan bahawa walaupun terdapat bukti penularan antara manusia dalam hubungan rapat, seperti keluarga atau mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan, belum ada bukti penularan seterusnya.

 

Jika kes disyaki, terdapat proses yang perlu diikuti

Kerajaan China telah mengklasifikasikan wabak tersebut dalam kategori yang sama seperti wabak Sars.

Ini bermakna mereka yang didiagnosis dengan virus tersebut di negara itu mesti diasingkan dan boleh diletakkan di bawah kuarantin.

Dalam fasiliti penjagaan kesihatan, WHO menasihatkan kakitangan supaya melaksanakan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan standard yang dipertingkatkan, terutamanya di jabatan kecemasan.

WHO menasihatkan agar pesakit dinilai dengan cepat dan dirawat mengikut tahap keterukan penyakit yang mereka alami - ringan, sederhana atau teruk.

Ia juga mengesyorkan pelaksanaan segera langkah-langkah pencegahan jangkitan. Ini termasuk kakitangan memakai pakaian pelindung dan mengehadkan pergerakan pesakit di sekitar hospital.

Panduan rasmi daripada Public Health England (PHE) menyatakan pesakit harus kekal di dalam bilik jauh daripada pesakit dan kakitangan lain serta dilarang menggunakan tandas awam.

 

 

 

Sumber: https://www.bbc.com/news/world-51235105
Coronavirus China: Panduan visual mengenai wabak tersebut

Oleh Pasukan Kewartawanan Visual dan Data BBC News